Wednesday, June 15, 2011

-Siapakah Allah dlm Hidup kita?-


Telah diciptakan manusia ini, lelaki dan perempuan, dengan pelbagai rupa yang berbeza tingkah laku, kemahiran dan perwatakan. Disengajakan keadaan itu berlaku supaya manusia cenderung untuk merasakan keperluan menjalinkan hubungan untuk membentuk kerjasama antara satu sama lain supaya sebuah kesatuan dapat dibina. Walaubagaimanapun, sebuah kesatuan itu hanya mampu dibina jika manusia mempunyai sebuah matlamat atau dasar yang sama yang mahu dicapai bersama-sama.

Salah satu hikmah Islam diwahyukan ialah bagi membolehkan umat manusia mempunyai dasar yang sama, walaupun wujud perbezaan latar belakang pendidikan, keturunan, kebudayaan, dan lain-lain. Akan tetapi, tidak semua manusia dapat menerima Islam sebagai satu sistem kehidupan yang praktikal di zaman ini. Lebih kritikal lagi apabila ada dalam kalangan mereka yang mengaku dirinya Islam dan namanya juga Islam, tetapi menolak untuk mengamalkannya, sama ada sebahagiannya atau kesemuanya.

Islam telah menggariskan satu dasar yang wajib menjadi pegangan semua ‘ahlinya’. Pegangan itulah yang dinamakan aqidah. Aqidah inilah yang, dengan izin-Nya, telah menyatukan Muhajirin dan Ansar selepas hijrah. Aqidah inilah yang, dengan izin-Nya, telah meledakkan kekuatan umat Islam untuk bersatu mempertahankan kesucian Islam daripada dirobek oleh musuh-musuh.

Aqidah ini mempunyai satu tunjang yang sangat kuat yang telah memungkinkan perkara di atas berlaku. Tunjang kepada aqidah ini adalah syahadah iaitu pengakuan, persaksian, penundukan diri dan penerimaan bahawa Allah adalah satu-satunya yang layak disembah dan tiada yang lain yang setanding dengan-Nya, dan Rasulullah SAW adalah penerima, pembawa, pengajar, penyebar dan contoh kepada risalah yang diwahyukan oleh Allah iaitu Islam.

Dalam Islam, Allah adalah segala-galanya seperti yang disebut dalam satu ayat iaitu:

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

(Al-An’aam, 6:162)

Hasil daripada pemahaman ayat ini, jelas dinyatakan bahawa kehidupan seorang muslim itu berpaksikan Allah dan seterusnya mengikut contoh tauladan Rasulullah. Dalam erti kata yang lain, segala perbuatan harian seperti makan dan minum, pergaulan dan interaksi, ibadah dan kesemuanya adalah menurut apa yang telah dinyatakan dalam Al-Quran dan melalui contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah yang telah diceritakan melalui hadith-hadith sahih.

Dalam mencetuskan penghayatan ayat di atas, perkara yang paling utama untuk diberikan perhatian ialah siapakah Allah dalam hidup kita? Di manakah kita meletakkan Allah dalam penilaian hidup kita? Apakah kita terlebih dahulu mengambil kira perintah dan larangan Allah dalam setiap perbuatan kita?

Sebelum kita betul-betul mampu untuk menggerakkan sebuah kesatuan, persoalan-persoalan ini perlu dijelaskan dan difahamkan dengan sebaiknya. Hanya dengan kekuatan yang bertunjangkan aqidah yang saleem (sejahtera) sahaja yang mampu menggerakkan seseorang untuk mengamalkan Islam secara total dan membentuk sebuah kesatuan yang kukuh untuk menghadapi cabaran yang kuat dan mencengkam pada masa hadapan.

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. (24) Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)..

(Ibrahim, 14:24-25)

Allahua’lam…

No comments:

Post a Comment